Ahad, 8 September 2013

15 lokasi rekrut pengikut baru

Kuala Lumpur: Sebanyak 15 markas utama Syiah di negara ini dikesan aktif melaksanakan aktiviti ajaran berkenaan bagi merekrut pengikut baru.
Sumber keselamatan berkata, 15 lokasi itu diketahui menerusi risikan serta temubual dengan pengikut dan bekas pengikut kumpulan terbabit sebelum mereka mengubah taktik mengadakan pertemuan di rumah kerana bimbang aktiviti songsang itu dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, ajaran kumpulan itu di negara ini masih belum sampai ke tahap ekstrem seperti dilakukan pengikut di beberapa negara yang majoritinya penganut Syiah.
“Berdasarkan pemantauan, kegiatan kumpulan ini masih terkawal. Biarpun mereka bijak menukar lokasi, kita boleh mengesan.

“Cuma yang merisaukan, jika tidak dibendung, kumpulan ini mungkin boleh bertukar menjadi kumpulan militan yang akan menimbulkan kekacauan dalam negara,” katanya.

Menurut sumber terbabit, pergerakan Syiah di negara ini mendapat dana daripada sebuah organisasi di Asia Barat. Disebabkan itu, katanya, pihaknya khuatir kewujudan hubungan dengan organisasi berkenaan mampu mempengaruhi pergerakan mereka di negara ini.
“Dana daripada organisasi berkenaan banyak memainkan peranan terhadap perkembangan kumpulan Syiah di negara ini, termasuk digunakan bagi membiayai aktiviti dan mewujudkan markas mereka.

“Kita khuatir jika mereka terus berkembang, ajaran ekstremis dari negara berkenaan mungkin menyusup masuk,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, fahaman Syiah di negara ini dibawa penduduk negara ini yang kebanyakannya pernah belajar di Qom, Iran. Ia kemudian disebar menerusi pelbagai cara, termasuk dalam usaha dakwah dan kerja kebajikan, selain dalam bentuk pengajian dan pembelajaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan